Panggilan Tuhan



Semua kita akan, sedang atau telah melalui usia remaja atau zaman muda. Golongan remaja merupakan masa yang amat indah dan adakalanya kritikal. Di katakan Kritikal kerana pada masa itu kita akan di dedahkan bagaimana membawa diri, menghadapi cabaran hidup dan ini menuntut kebijaksanaan dalam membuat keputusan, memilih rakan yang betul, pergaulan dengan rakan sebaya. Segalanya memerlukan pertimbangan yang betul. Silap percaturan dalam membuat pilihan maka boleh menghancurkan masa depan muda-mudi

Bagaimana seharusnya dilakukan oleh muda-mudi yang ingin mencari Tuhan Yesus? Tuhan tidak pernah memandang usia kita. Ingat Tuhan tidak memandang siapa kita untuk melayani Dia samaada muda, dewasa mahupun tua. Dalam Alkitab, kita menyelidiki kisah Nabi Yeremia iaitu sewaktu dia menerima panggilan Tuhan. “Firman Tuhan datang kepadaku, bunyinya: Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu. Aku telah mengenal engkau, sebelum engkau keluar dari kandungan. Aku telah menguduskan engkau, Aku telah menetapkan engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa”

Dalam usia yang muda Nabi Yeremia menolak panggilan Tuhan “Ah, Tuhan, sesungguhnya aku tidak pandai berbicara, sebab aku masih muda” Tetapi Tuhan berfirman kepadaku: “Janganlah katakan: Aku ini masih muda, tetapi kepada siapa pun engkau Ku utus, haruslah engkau pergi, dan apa pun yang kuperintahkan kepadamu, haruslah kausampaikan” Yeremia 1:6-7. Nabi Yeremia pada ketika itu, usianya muda dan dia mengganggap dirinya tidak layak untuk menjadi utusan Tuhan. Dia tidak pandai berbicara sebab masih muda. Namun Tuhan tidak memandang usia kerana Tuhan akan menyertai Nabi Yeremia. “Janganlah takut kepada mereka, sebab Aku menyertai engkau untuk melepaskan engkau, demikianlah firman Tuhan” Yeremia 1:8.

Bagi menyakinkan Nabi Yeremia ketika itu. Tuhan dengan penuh kasih memberikan Nabi Yeremia hikmat, untuk berbicara “Lalu TUHAN menghulurkan tanganNya dan menjamah mulutku; TUHAN berfirman kepadaku: Sesungguhnya, Aku menaruh perkataan-perkataanKu ke dalam mulutmu. Ketahuilah, pada hari ini Aku mengangkat engkau atas bangsa-bangsa dan atas kerajaan-kerajaan untuk mencabut dan merobohkan, untuk membinasakan dan meruntuhkan, untuk membangun dan menanam.” Yeremia 1:10.

Melalui kisah Nabi Yeremia, Tuhan telah memperlengkapkan dia untuk menjadi utusanNya bagi bangsa Isreal. Walaupun usia muda dan tidak pandai berbicara namun Tuhan sendiri telah menjamah mulutnya supaya perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya adalah dari Tuhan

Generasi hari ini, juga harus mencari Tuhan dan kebenaran. Inilah masanya! Tuhan mahu mempersiapkan kita semua menjadi utusanNya. Tuhan buka jalan sekiranya kita sendiri membuka hati kita untuk Roh Kudus tinggal dalam hati setiap kita. Tuhan tidak mengira samaada kita petah berbicara atau tidak, sebab kita akan menjadi alatNya dan mendapat kekuatan dariNya.

Di saat masih muda, kita masih bertenaga dan jangan lepaskan saat itu kerana masa berlaku begitu pantas. Jadikan setiap hari kita bermakna dan lebih baik dari hari yang sebelumnya. Maka lebih berharga lagi sekiranya kita manafaatkan untuk melayani dan melakukan sesuatu untuk kemuliaan Tuhan. Percayalah. Sungguh indah rasanya di dalam hadirat Tuhan. Melakukan perkara-perkara yang walaupun kecil tetapi besar dan lumayan di dalam Tuhan.

Tuhan Yesus Kristus sendiri juga berfirman dalam Injil Matius “Barangsiapa tidak memikul salibNya dan mengikut Aku, ia tidak layak bagiKu.” Tuhan Yesus Kristus berterus terang dengan kita semua, kalau kita tidak memikul salib bagiNya, ia tidak layak bagi Tuhan. Sebagai golongan meningkat dewasa juga, kita terbeban dengan banyak perkara duniawi.

Kita juga melakukan perkara-perkara yang tidak sihat. Kita mudah terdedah dengan perkara dosa di sekeliling. Tambah-tambah lagi jika kedua ibubapa kita tidak mengenal Tuhan. Berkawan pula dengan kawan-kawan yang tidak membantu ke arah kebaikan dan suka menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah serta mudah terpengaruh dengan gaya hidup duniawi masa kini. Disinilah keputusan yang amat tepat perlu kita lakukan.

Seharusnya, sebagai golongan anak muda yang mahu memulakan hidup dengan berdikari sendiri atau mula melakukan apa saja perkara dengan usaha sendiri, mulakanlah dengan mencari Tuhan. Minta Tuhan bimbing dan tunjukkan jalan. Kalau belum, mulakan dengan doa. Jika masih mencari, teruskan berusaha. Tuhan pasti mendekat dan meluruskan jalan bagimu. Itu sudah pasti. Inilah Janji Yesus bagi saudara dan saya. Amen.

Petikan buku 'Jangan Lepaskan;Generasi Yesus'

Popular Posts