Kegiatan permurtadan dalam kalangan pelajar Kristian...


Shalom semua.

Minggu ini saya ingin membicarakan suatu bahan bicara yang mungkin sekali sekala di sentuh di dalam Gereja atau dalam sesebuah institusi keluarga orang Kristian.

Setiap institusi kekeluargaan mempunyai suatu visi dan tujuan yang khusus lebih-lebih lagi dalam soal pendidikan anak-anak. Pendidikan secara formal di zaman ini sangat penting oleh kerana tanpa pendidikan yang teratur dan sempurna sukar untuk hidup di dalam dunia serba moden. Sungguhpun kita tidak menafikan Tuhan adalah sumber segala sesuatu tetapi kita masih hidup bertapak di dunia dan terikat dengan sistem dunia maka pendidikan adalah suatu panggilan yang murni dari Tuhan yang harus setiap kita lalui dengan baik.

Perkara pokok yang saya ingin kongsikan selain daripada sesebuah keluarga memenuhi tuntutan persekolahan yang menekan seperti menghantar anak kelas tambahan dan ada kalangan keluarga sanggup bebelanja besar bagi membeli buku-buku rujukun malah menghantar anak ke kelas tuisyen. Tujuan ini semua adalah untuk kemajuan persekolahan anak masing-masing.

Namun demikian, dalam pemerhatian saya ada satu lagi aspek yang harus atau sama penting iaitu pendidikan Alkitab kepada anak-anak. Saya belum pernah terjumpa satupun pusat atau kelas tuisyen yang dibuka bagi anak-anak orang Kristian belajar Alkitab. Kebanyakan keluarga hanya bergantung semata-mata kepada sekolah minggu iaitu sejam sekali di dalam kebaktian gereja. Atau mungkin ibubapa tidak sanggup mengeluarkan sedikit belanja membiayai anak-anak mereka belajar kepada firman Tuhan. Atau pendapat umum pendidikan Alkitab harus diberikan secara percuma di gereja dan mereka meletakkan kebangunan iman anak-anak mereka di atas bahu pihak Gereja semata-mata. Wajarkah pendapat itu?

Ibubapa orang Kristian sanggup bebelanja besar untuk kemajuan anak-anak mereka di sekolah, kolej mahupun university dan ini bagi saya niat dan tujuan itu tidak sama sekali salah. Namun saya cuba memperkatakan satu lagi pendidikan yang sama pentingnya dengan kemajuan persekolahan iaitu pengetahuan mengenai firman Tuhan. Sebab Tuhan mengatakan ‘manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja melainkan firman yang keluar dari Tuhan – Matius 4:4’ dan 2 Timoti 3:16  ‘Segala tulisan yang diilhamkan Allah memang bermanfaat untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam kebenaran’
Sudah sampai masanya, setiap institusi kekeluargaan bertindak dengan pelbagai masalah sosial remaja sekarang ini dan salah satu puncanya kurang didikan kepada Alkitab yang secara sistematik dan sempurna. Kegiatan permurtadan dalam kalangan pelajar Kristian di sekolah, kolej dan universiti semakin meruncing oleh kerana segelintir daripada mereka tidak mempunyai dasar iman yang kukuh dan mudah di pengaruhi oleh kerana tiada kebenaran dalam hati mereka yang ada cuma ritual atau aktiviti gereja yang harus di penuhi.


Artikel oleh;
~Robin Maramat, MCS~


No comments:

Post a Comment

Popular Posts