PELAYANAN KELUARGA (4): PERKEMBANGAN CINTA SAYANG DALAM KELUARGA

DALAM KEHIDUPAN BERKELUARGA sudah pasti banyak cabaran. Cabaran ini terbahagi kepada dua iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran keluarga.

Cabaran dalaman berkeluarga meliputi perhubungan antara ibubapa yang sudah lanjut usia, hubungan dengan anak-anak, hubungan dengan datuk dan nenek serta cucu. Cabaran seterusnya ialah melibatkan penyelarasan aspek kewangan sesebuah keluarga, penyesuaian diri dalam kehidupan bersosial dan hubungan ibubapa dengan mertua. Cabaran dalaman ini akan dihadapi semasa kehidupan berkeluarga.

Cabaran luaran berkeluarga ialah melibatkan lingkungan keluarga dan jiran tetangga yang dikenali sebagai system mikro. Cabaran luaran yang kedua ialah system meso yang melibatkan lingkungan kampong setempat-hubungan keluarga tersebut dengan orang-orang kampong. Cabaran luaran yang membesar ke arah lingkungan dari kampung ke bandar yang dikenali sebagai system exo iaitu keluarga tersebut akan terdedah kepada budaya bandar. Cabaran luaran seterusnya ialah system makro yang datang dari seluruh dunia iaitu globalisasi-ini melibatkan perubahan yang berlaku kepada masyarakat dunia yang menyerap kepada sesebuah keluarga.

Asas pembentukan keluarga ialah kasih sayang. Tanpa kasih sayang tidak mungkin wujud sebuah keluarga. Kasih sayang yang menjadi dasar utama sesebuah keluarga untuk berkembang dan kekal. Kasih sayang sangat penting kepada setiap individu dalam sesebuah keluarga mempunyai perasaan untuk disayangi dan dihargai dalam perhubungan. Terdapat lima akar untuk pertumbuhan kasih sayang yang memberikan perkembang kepada sesebuah keluarga.

Pertama ialah akar keselamatan. Keselamatan penting dalam sesebuah keluarga iaitu setiap ahli keluarga memerlukan tempat, keadaan dan perasaan yang selamat bagi perkembangan kasih sayang. Apabila setiap ahli keluarga berasa selamat maka sudah pasti dapat mewujudkan perasaan yang tenteram dan perkembangan keluarga tersebut tidak terbantut.

Kedua ialah batasan atau sempadan. Setiap ahli keluarga perlu mengetahui batas-batas dan mempunyai displin yang positif dengan mengetahui apa yang harus dielakkan bagi menjaga keharmonian sistem kekeluargaan. Batasan ini juga dapat menjaga tingkahlaku dan kesejahteraan keluarga dapat terjamin. Tanpa batasan atau sempadan sesebuah keluarga itu akan kucar kacir dan kehilangan kasih sayang.

Ketiga akar kasih sayang iaitu kepentingan. Setiap individu dalam keluarga perlu menjaga kepentingan hubungan antara satu sama lain didalam sesebuah keluarga. Salah satu tema injil Kristian adalah penebusan orang dengan mengembalikan maruah dan nilai peribadi individu yang ciptakan dalam imej Tuhan. Contohnya cerita wanita samaria (John 4:4-26). Kepentingan ini meliputi dinilai - setiap individu merasakan bahawa mereka adalah istimewa. Di berikan identiti - setiap individu dalam keluarga perlu mempunyai identiti bagi membentuk keperibadiannya. Selain itu, individu dalam keluarga harus dihormati, rasa dimiliki dan diberikan peluang untuk menyumbangkan sesuatu didalam keluarga.

Keempat akar kasih sayang iaitu komuniti. Komuniti juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dan perkembangan cinta sayang dalam keluarga. Contohnya komuniti Gereja harus mengambil berat akan setiap keluarga didalam komuniti mereka. Hubungan komuniti antara ahli gereja hendaklah bersesuaian dengan firman Tuhan iaitu tubuh Kristus didalam 1 Korintus 12:12-13.

Kelima akar kasih sayang iaitu memberikan kebebasan untuk melakukan kreativiti semaksimum. Kreativiti dalam keluarga amat penting untuk setiap ahli keluarga bebas berimaginasi dalam seni, drama, muzik, sukan dan kegemaran masing-masing. Kreativiti juga adalah satu cara yang kita gunakan untuk menyelesaikan masalah dan menghiburkan. Selain itu kreativiti dapat menjana idea-idea baru, lebih berdikari, meningkatkan daya tahan menghadapi tekanan, keberanian menghadapi cabaran baru, tidak gentar dalam meluahkan pandangan baru. 

~Robin Maramat~

No comments:

Post a Comment

Popular Posts